Sunday, May 17, 2009

Memberi sedikit dari bahagian anda I

Hari ini terasa sangat penuh. Seawal pagi saya sudah bersiap untuk mengikuti program PKPMI “Give a little of yourself” di btn Antara. Sudah lama saya teringin untuk mengikuti program sebegini, Alhamdulillah baru hari ini tercapai hasrat. Mulanya malas juga jika diikutkan badan dan mata yang mahu berehat sahaja di rumah cuti begini, namun hati lagi kuat memaksa untuk ikut serta program ini.

Give a little of yourself adalah program yang sering anak-anak Malaysia di sini adakan. Seperti namanya, memberi sedikit dari bahagian anda membawa niat untuk berbagi dengan masyarakat yang memerlukan di sekeliling kami.
Atas dasar prihatin dan minat saya untuk mengikuti aktiviti kebajikan sebegini ternyata memberi kesan yang mendalam buat diri ini. Terlalu banyak yang telah dipelajari dari pengalaman berbagi kepada mereka yang memerlukan. Pengajaran untuk tetap bersyukur akan segala rezeki, nikmat, peluang, kesenangan yang dikurnia oleh Allah. Sungguh hati terobat kembali. Belajar dari mereka. Belajar untuk tetap bersyukur. Belajar untuk redha. Belajar untuk memberi.

Kedatangan kami disambut riang oleh anak-anak di sana. Mungkin belum pernah ada yang datang beramai-ramai di tempat tinggal mereka yang daif. Kami diberitahu bahawa anak-anak di sana tidak pernah ke sekolah kerana kesempitan hidup. Hanya satu buah rumah yang telah diwakafkan menjadi ‘sekolah’ dan tempat belajar untuk mereka.

Bermula dengan menziarahi dari rumah ke rumah warga, kami dibahagi mengikut pasangan. Ada bantuan masing-masing kami hulurkan di setiap rumah. Dari hasil kutipan derma, kami mampu menghulurkan bantuan sekampit beras dan pakaian untuk keluarga mereka. Mungkin nilainya tidak begitu besar, tapi ternyata ia cukup membawa kegembiraan di setiap rumah.

Bahagian yang paling seronok adalah aktiviti bersama anak-anak. Kami berkumpul di rumah yang menjadi ‘sekolah’ mereka. Awalnya mereka sangat gembira bernyanyi bersama-sama. Kakak-kakak dan abang-abang pun turut gembira bertepuk tangan. Terasa sungguh seolah-olah saya kembali di tadika sewaktu kecil. Ada juga sesi mewarna. Anak-anak sungguh teruja bila dihadiahkan dengan sekotak pensil warna. Aktiviti mewarna dimulai sehingga hampir setengah jam. Kami pun teruja juga mahu mewarna hehe ^_^

Ada tiga mahasiswa dari Fakultas Kedokteran Gigi yang turut sukarela hadir memberi tenteran akan cara menyikat gigi yang benar. Sungguh menarik. Siap ada analogi monster dan Power Rangers lagi mereka bawakan. Anak-anak terlihat antusias sekali.

Masa untuk sikat gigi! Masing-masing sudah tidak sabar lagi. Mereka diberikan berus gigi Codomo Lion yang comel dan pasta gigi sebagai hadiah. Kali ini abang-abang atau mas-mas pula yang menjadi cikgu. Macam-macam ragam mereka ajarkan cara menyikat gigi sehingga ada yang tolong sikatkan gigi mereka langsung. Mana aci. Hehe. Lihat, gigi semuanya sudah bersih dan putih ^_^

Masa untuk makan. Sebelum makan mari berdoa bersama. Seronok sungguh melihat mereka lahap sekali makan. Mungkin, ini adalah makanan yang paling enak yang pernah mereka rasa.
“Nyum, nyum. Enaknya.”

Jam sudah pukul satu. Kami bersiap untuk berangkat pulang.

“ Kak, besok datang lagi yah.”
Sungguh, program ini membawa seribu makna bagi saya. Pulang dengan hati gembira dan merindukan anak-anak tadi.


Belajar untuk sentiasa memberi~

0 comments:

Post a Comment