Sunday, May 31, 2009

kecape'an

Hari ini saya sangat penat memikirkan masalah negara. Sore tadi terkejut dengan berita kepulangan Manohara Odelea Pinott isteri kepada Putera Temenggong Kelantan Tengku Fachry ke pangkuan ibunya. Kasus ini sudah hangat dari dulu lagi. Perjuangan ibunya untuk membebaskan anaknya yang dikhabarkan diseksa oleh kesultanan Kelantan. Betul kah?

Hari ini terjawab sudah dengan berita yang pengakuan Manohara yang diseksa fizikal dan mental oleh Tengku Fachry. Hurm, entahlah. Saya sangat lah terkejut dan sedih bila mendengarnya. Sedih sebab nama baik negaraku telah tercemar hari ini. Macam mana lah nanti mahu hadapi dengan tohmahan dan persoalan masyarakat di sini nanti. Kawan-kawan di sini sudah khabarkan supaya tidak mengaku tempat asal dari Kelantan untuk keselamatan. Entah lah.bingung lagi memikirkan.

Tak habis cerita Manohara, berita Ambalat panas kembali. Tidak jelas juga masalahnya bagaimana, tapi ada berlaku masalah antara TLDM dan TNI-AL di pulau Ambalat. Kak Ichsan tetangga sebelah sudah pun mengingatkai kami supaya berhati-hati jika ada gangguan yang mungkin terjadi kepada kami warga asing yang menumpang ini.
Entahlah.

Runsing juga memikirkan. Inilah nasib orang merantau menjadi warga asing. Masalah negara sekecil apapun turut akan terkena tempiasnya. Apapun, saya tetap berdoa moga Allah jualah yang mampu melindungi kami dari segala yang tak termampu kami hadapi. Pasti ada hikmah atas ujian ini insyaAllah.

1. Sedih. Betul kah Kesultanan Kelantan sedemikian rupa?
2. Malukah saya mahu mengaku rakyat Kelantan di bawah takhta baginda?
3. Entahlah.
4. Bingung.
5. Malaysia oh Malaysia ku~

Wednesday, May 27, 2009

Dari Malino

Ini juga kisah seminggu lalu. Terlalu lama juga disimpan kenangan berlibur minggu lalu. Cuti sehari pada Khamis lalu kami gunakan untuk berwisata ke kawasan tanah tinngi Malino. Jaraknya agak jauh sedikit hampir tiga jam dari Tamalanrea dengan jalan yang begitu mencabar berkeluk-keluk layaknya seperti menunggang kuda sahaja. Namun sepanjang perjalanan tidak pernah mengantuk mata ini melihat pemandangan indah yang terbentang di depan.

Semuanya seramai sepuluh orang termasuk mas supir. Bertolak pagi lagi menaiki APV kami tiba sekitar jam 11 pagi. Destinasi pertama adalah air terjun Takapalar yang begitu indah. Subhanallah. Belum pernah rasanya saya melihat air terjun seindah ini yang memercikkan airnya dari jauh lagi terasa. Kayaknya seperti Niagara Fall cuma kecil sahaja hehe.Alam sekitarnya yang masih belum banyak diterokai mengekalkan keindahan alami tempat ini. Sungguh menenangkan.

Bekalan spaghetti homemade aqilah, keropok, sandwiches kami habiskan. Apa lagi, selepas solat, masing-masing terjun mandi di air terjun yang sungguh dingin. Saya pula, hmm..tidak ikut sama pula sebab banyak alasannya. Tidak bawa baju, sejuk, dan banyak lagi. Dah besar kan, jadi cuma main-main air di pinggiran batu sahaja sudah cukup hehe. Ada juga saya mencuba belajar mengambil foto dengan skill tersendiri, tapi tidak terlalu bagus hasilnya. Habis juga lensa kamera terkena tempias air yang terjun menjunam dengan derasnya. Mereka yang lain hanya berendam sebentar sahaja sebab tak tertahan dingin airnya seperti es teller hehe ^_^

Puas di sana, kami berangkat di HutanWisata Malino. Di sana saya berpeluang menunggang kuda hehe. Seronok. Tapi tidak lah menunggang seperti dalam tv setakat di bawa bersiar-siar sepanjang jalan sahaja ^_~

Sebelum pulang, singgah sebentar di pasar tradisional malino untuk membeli ole-ole di bawa pulang. Banyak ole-ole dijual seperti buah markisa, pokok bunga, buah-buahan dan sayuran yang segar dan murah. Yang memikat hati saya adalah pokok bunga yang sangat cantik. Hasilnya, sepohon bonsai buluh dibawa pulang untuk hiasan di kamar saya nanti. Sangat suka ^_^

Percutian di Malino kali ini tak akan dilupakan. Keindahan dan ketenangan alam di Malino yang jauh dari hiruk pikuk kota masih dirindui. Pasti nanti saya akan kunjungi lagi insyaAllah.

  1. Ingin bawa ummi dan abah jalan-jalan di sini juga nanti insyaAllah.
  2. Rindukan ummi dan abah. tidak sabar sudah mahu pulang nanti.
  3. Suka belajar tropical medicine tapi terlalu banyak yang harus dihafal. cacing, nyamuk, plasmodium, etc. Tetaplah bersemangat~
  4. Tinggal 19 hari lagi untuk belajar di pre-clinical year. Sedih. Pasti merindukan kuliah, lab, csl, pbl huhu..
  5. Saya harus belajar yang terbaik!

Monday, May 25, 2009

Dari Kayangan

Ini kisah seminggu lalu. Sudah lama terperap sahaja cerita perjalanan liburan lalu. Liburan kali ini bersempena tamatnya sistem emergency dan traumatology juga kebetulan membawa Deq Ni (adik Aqilah) dari Malaysia berwisata di sini.

Tujuan wisata kali ini adalah Kayangan Island. Jaraknya tidak lah jauh cuma setengah jam sahaja dari jeti Losari yang berhadapan Fort Rotterdam.

Seperti yang dirancang, kami berpergian seramai tujuh orang semuanya. Yang menariknya rombongan kali ini adalah dengan konvoi motorsikal dan skuter. Hehe, seronok ^_^

Perjalanan ke pulau dengan menaiki bot. Tiba sahaja di pulau, aktiviti dimulai. Tawaf pulau. Tak sampai sepuluh minit rasanya sudah cukup satu pusingan kami keliling satu pulau.hehe. Kecil saja pulau ini tapi cukup menarik sebab betul-betul di tengah laut. Comel betul saiz pulau ini.

Tak penat keliling pulau, acara picnic bermula. Gaster pun dah berbunyi sarapan belum di beri. Masing-masing bawa bekal dan makan bersama-sama. Enak sekali makan di bawah pohon sambil menghirup angin pantai ^_^

Hah, acara yang dinanti telah tiba. Mandi pantai! Masing-masing pun terjun lah ke pantai menunjukkan aksi renang tersendiri. Saya tidak ikut sama sebab tak berminat untuk mandi air laut yang masin. Tapi sebenarnya tak mahu sunburn alasannya hehe ^_^

Entah berapa kali mereka naik turun pantai mandi. Sudah lah tengahari. Panas matahari tegak di kepala. Habis masing-masing pulang dengan first degree burn sudah. Nasib baik saya tak ikut sama ^_^

Kami pulang dengan gembira dan bahagianya sore itu. Sungguh seronok wisata mingguan kali ini. Sekali-sekala cuba mengambil angin luar setelah penat sebulan dengan perkuliahan dan ujian. Kenangan kebersamaan semakin merapatkan antara kami. Woney, Ain, Elly, Qilah, dan Yana.

Moga masih ada kesempatan untuk berlibur bersama lagi ketika klinikal nanti. Destinasi seterusnya Salmalona Island aka Salmonella hehe ^_^

Tuesday, May 19, 2009

Satu pelaburan

Sekarang saya dalam program berjimat cermat mengumpul wang sempena Java Trip Juni mendatang. Awalnya sudah bertekad untuk tidak lagi ke mall dengan harapan mengelakkan diri berbelanja dengan bahagianya. Namun, apakah daya. Sabtu lepas ‘ter’ pergi juga ke Panakkukang sebab dah tak tertahan hehe. Elok saja hari itu GraMedia bookstore mengadakan re-opening sale sebesar 30% untuk semua buku! Apa lagi. Sudah sememangnya tahu diri suka membeli dan mengumpul buku, berbulu rambang mata dengan buku-buku yang murah selepas diskon hebat. Kesannya, hari itu saya telah menghabiskan sebesar 370,000 rp dengan jayanya. Tahniah untuk saya yang juga telah kekeringan poket menanti duit mara yang tak kunjung tiba ^_^

Apapun, saya tidak menyesal dengan perbelanjaan yang besar tadi. Beli buku. Satu pelaburan masa depan juga kan. Bak kata Abah, tak usah lah berkira membeli buku sebab ianya berharga sepanjang hayat kita. Terima kasih daun keladi ya fi sebab ajak i berbelanja benda berfaedah hehe^_^

Dan inilah hasilnya. Empat buah yang telah digalas pulang berat sekali isinya.


1) Mereka Bertanya Islam Menjawab


Saya jatuh hati dengan buku ini pada pandangan pertama. Buku ini sangat bagus bagi menjawab persoalan-persoalan biasa dan aneh dari non muslim atau sebagai pencerahan bagi saya sendiri dalam memahami Islam sebaiknya. Direkomendasi sebagai bahan bacaan untuk pengetahuan dalam menjawab pertanyaan yang biasanya ditanya oleh rakan-rakan non-muslim kita. Setiap persoalan dijawab dengan ringkas dengan analogi yang mudah untuk difahami.

2) Atlas Sejarah Nabi & Para Rasul


Sudah lama saya mengimpikan atlas ini. Rasanya masa tahun pertama lagi tetapi harganya terlalu mahal ketika itu. Atlas ini sangat bagus untuk mendalami kembali sejarah nabi dan para rasul. Ianya adalah atlas, maka sangat menarik dengan gambar-gambar sebenar dengan huraian. Sesuai lah kepada saya yang benar-benar kurang ilmu sirah dan suka melihat gambar-gambar dari membaca ^_^


3) Al-Quran Tajwid Berwarna

Saya sudah punyai satu. Yang ini dibeli khas sebagai hadiah untuk adik saya Muhammad Atif dengan harapan moga Atif meneruskan minat tilawah al-Quran dengan bacaan yang benar. Al-quran ini sangat menarik, berbentuk seperti dompet dan berwarna-warni mengikut bacaan tajwid yang insyaAllah akan membantu dalam bacaan.

4) Syaamil al-Quran Terjemahan Perkata



Al-Quran yang selama ini saya cari. Sangat menarik dan bermanfaat dalam mempelajari dan memahami al-Quran. Ciri khasnya adalah terjemahannya perkata. Sangat menarik! Juga sangat membantu mempelajari bahasa arab secara tidak langsung. Boleh lah saya menggilap kembali bahasa arab yang telah lama terbeku di otak ini insyaAllah.

Alhamdulillah. Sangat berpuas hati dengan pelaburan kali ini. Belum pernah lagi rasanya saya pulang dari mall hanya membawa pulang buku-buku tanpa barang belanjaan yang lain hehe. Tahniah sekali lagi untuk saya ^_^

Tetaplah istiqamah dalam mencari ilmu~

  1. Bersemangat belajar tropical medicine yang sangat menarik! Alhamdulillah.
  2. Tapi pulang ke rumah, sedih kembali. Penantian yang masih belum berakhir. Kapankah ia akan tiba huhu.
  3. Pupuk diri untuk bersabar, redha, dan sentiasa bersyukur. Ummi turut mendoakan. Pasti ada hikmah. Yakin!
  4. Oh, sesiapa yang berminat mahu pinjam salah satu buku di atas silalah. Nanti beritahu sahaja ya. Bisa ji ^_^
  5. Alhamdulillah.alhamdulillah.alhamdulillah.

Sunday, May 17, 2009

Memberi sedikit dari bahagian anda I

Hari ini terasa sangat penuh. Seawal pagi saya sudah bersiap untuk mengikuti program PKPMI “Give a little of yourself” di btn Antara. Sudah lama saya teringin untuk mengikuti program sebegini, Alhamdulillah baru hari ini tercapai hasrat. Mulanya malas juga jika diikutkan badan dan mata yang mahu berehat sahaja di rumah cuti begini, namun hati lagi kuat memaksa untuk ikut serta program ini.

Give a little of yourself adalah program yang sering anak-anak Malaysia di sini adakan. Seperti namanya, memberi sedikit dari bahagian anda membawa niat untuk berbagi dengan masyarakat yang memerlukan di sekeliling kami.
Atas dasar prihatin dan minat saya untuk mengikuti aktiviti kebajikan sebegini ternyata memberi kesan yang mendalam buat diri ini. Terlalu banyak yang telah dipelajari dari pengalaman berbagi kepada mereka yang memerlukan. Pengajaran untuk tetap bersyukur akan segala rezeki, nikmat, peluang, kesenangan yang dikurnia oleh Allah. Sungguh hati terobat kembali. Belajar dari mereka. Belajar untuk tetap bersyukur. Belajar untuk redha. Belajar untuk memberi.

Kedatangan kami disambut riang oleh anak-anak di sana. Mungkin belum pernah ada yang datang beramai-ramai di tempat tinggal mereka yang daif. Kami diberitahu bahawa anak-anak di sana tidak pernah ke sekolah kerana kesempitan hidup. Hanya satu buah rumah yang telah diwakafkan menjadi ‘sekolah’ dan tempat belajar untuk mereka.

Bermula dengan menziarahi dari rumah ke rumah warga, kami dibahagi mengikut pasangan. Ada bantuan masing-masing kami hulurkan di setiap rumah. Dari hasil kutipan derma, kami mampu menghulurkan bantuan sekampit beras dan pakaian untuk keluarga mereka. Mungkin nilainya tidak begitu besar, tapi ternyata ia cukup membawa kegembiraan di setiap rumah.

Bahagian yang paling seronok adalah aktiviti bersama anak-anak. Kami berkumpul di rumah yang menjadi ‘sekolah’ mereka. Awalnya mereka sangat gembira bernyanyi bersama-sama. Kakak-kakak dan abang-abang pun turut gembira bertepuk tangan. Terasa sungguh seolah-olah saya kembali di tadika sewaktu kecil. Ada juga sesi mewarna. Anak-anak sungguh teruja bila dihadiahkan dengan sekotak pensil warna. Aktiviti mewarna dimulai sehingga hampir setengah jam. Kami pun teruja juga mahu mewarna hehe ^_^

Ada tiga mahasiswa dari Fakultas Kedokteran Gigi yang turut sukarela hadir memberi tenteran akan cara menyikat gigi yang benar. Sungguh menarik. Siap ada analogi monster dan Power Rangers lagi mereka bawakan. Anak-anak terlihat antusias sekali.

Masa untuk sikat gigi! Masing-masing sudah tidak sabar lagi. Mereka diberikan berus gigi Codomo Lion yang comel dan pasta gigi sebagai hadiah. Kali ini abang-abang atau mas-mas pula yang menjadi cikgu. Macam-macam ragam mereka ajarkan cara menyikat gigi sehingga ada yang tolong sikatkan gigi mereka langsung. Mana aci. Hehe. Lihat, gigi semuanya sudah bersih dan putih ^_^

Masa untuk makan. Sebelum makan mari berdoa bersama. Seronok sungguh melihat mereka lahap sekali makan. Mungkin, ini adalah makanan yang paling enak yang pernah mereka rasa.
“Nyum, nyum. Enaknya.”

Jam sudah pukul satu. Kami bersiap untuk berangkat pulang.

“ Kak, besok datang lagi yah.”
Sungguh, program ini membawa seribu makna bagi saya. Pulang dengan hati gembira dan merindukan anak-anak tadi.


Belajar untuk sentiasa memberi~

Friday, May 15, 2009

Kisah Hari Guru


Hari ini 16 Mei. Mungkin sekarang kita dah semakin lupa akan hari ini. Tak seperti zaman bersekolah dulu yang setiap kali 16 mei akan dinanti-nanti oleh kita. Termasuk lah saya. Seronok apa tiap kali sambutan hari guru. Pasti hari itu tidak belajar seharian sebab menyambut hari guru di dewan sekolah. Ada persembahan, permainan sukan dan macam-macam lagi. Yang paling best masing-masing akan bersedia untuk menghadiahkan cikgu-cikgu kesayangan masing-masing. Sehari sebelum sudah sibuk minta dengan ummi mahu hadiahkan cikgu-cikgu. Ummi pun mengerti dah bersedia mensponsor hadiah. Seingat saya, cikgu yang cantik-cantik, hensem-hensem dan baik-baik mesti banyak hadiah. Kasihan pula dengan cikgu disiplin yang pasti bawa balik hadiah dari pihak sekolah saja hehe ^_^

Di zaman sekolah rendah juga setiap kali pulang dari sekolah petang 16 mei pasti berebut-berebut mahu membuka hadiah yang ummi dan abah dapat. Seronok. Pasti banyak sekali hadiah yang ummi dan abah dapat. Ada yang memberi pen, tuala, sejadah, barang-barang yang comel-comel yang pastinya akan menjadi milik saya, abang dan kakak. Hehe.

Itu kisah sekolah rendah.

Masa sekolah menengah dan di mrsm mungkin agak berbeza sedikit. Semangat nak beli hadiah sendiri-sendiri dah tak seperti zaman kecil-kecil dulu. Kali ini saya lebih suka untuk berkongsi duit dengan kawan-kawan sekelas atau homeroom untuk menghadiahkan cikgu-cikgu. Kalau mahu lebih sedikit, akan dibeli sahaja dedication yang banyak dijual ketika itu seperti bunga dan coklat sebagai hadiah peribadi. Yang penting ikhlas ^_~

Zaman di kmb masih seperti di sekolah. Cuma yang lain sambutan hari gurunya agak berbeza. Pihak kolej memang tidak membuat sambutan, tapi pihak perwakilan pelajar ada memberikan sambutan yang mengejutkan untuk cikgu-cikgu di sana. Sungguh cikgu-cikgu sendiri tidak sangka akan kejutan itu sehingga ada yang menangis terharu. Huhu, sweet kan? Seperti di mrsm juga, saya dan kawan-kawan homeroom akan mengumpul duit untuk hadiah cikgu. Hadiah peribadi pula, saya lebih terbiasa membawa ole-ole dari Kelantan untuk cikgu-cikgu setiap kali pulang bercuti. Bermacam-macam makanan khas Kelantan sudah dikenali cikgu-cikgu dari dodol, keropok sehingga lidah buaya. Hehe ^_^

Sekarang, tiada lagi panggilan cikgu di sini. Hanya panggilan prof dan doktor sahaja yang dipanggil. Namun, mereka adalah cikgu juga. Sungguh merindukan untuk memberi ucapan, “Selamat pagi, che-gu” dalam irama slow emotion ketika sekolah dulu. Sekarang manalah orang buat di kuliah. Masuk-masuk bagi salam, jawab dalam hati saja. Rasanya belum pernah saya hadiahkan apa-apa untuk 'cikgu' di sini. Ramai sangat yang mengajarnya. Hehe.

Apapun, bagaimana kisah sambutan hari guru dulu dan kini masih membawa pengertian yang sama. Mungkin dari jauh ini hanya mampu saya hadiahkan doa moga cikgu-cikgu yang saya sayangi sejak dari tadika, sekolah rendah, sekolah menengah, mrsm, tuisyen, kmb, unhas, dan semua agar dirahmati oleh Allah. Segala tunjuk ajar, penat lelah cikgu semua tak mampu saya balas dan moga Allah yang akan membalasnya. Tanpa cikgu siapalah saya hari ini.Terima kasih, cikgu.

SELAMAT HARI GURU untuk cikgu semua.


  1. Selamat hari guru juga untuk ummi dan abah.
  2. Oh, pasti ramai antara kita yang selalu lupa nak ucap hari guru pada seorang cikgu ini kan?? Kenapa kita selalu lupa??
  3. Siapakah cikgu itu?
  4. ……….. cikgu sekolah memandu....... hehe ^_^
  5. Selamat hari guru juga untuk cikgu sekolah memandu yang mengajar saya memandu sehingga saya bisa memandu denan jayanya^_~

Wednesday, May 13, 2009

Emergency & Traumatology II

Selesai sudah lima minggu lamanya Emergency & Traumatology berjalan. Nilai sks nya juga sangat tinggi dengan 7 mata. Tidak hairan lah ramai yang berusaha bermati-matian untuk skor yang terbaik system ini bagi membaiki nilai CGPA nanti. Entah lah kenapa dari dulu lagi saya tidak suka untuk memandang pada nilai. Sampaikan bila kawan-kawan ada yang bertanya keputusan nilai system yang lepas, pasti saya tidak ingat apa nilainya. Huhu, teruk kan?

Mungkin jawapannya adalah sebab saya dari gologan ANGGUR. Yang akan belajar yang terbaik bila tanpa kompetisi. Itulah, saya lebih senang dan tenang jika hanya belajar tanpa memikirkan nilai apa yang saya bakal dapat. Nilai menjadi nombor dua. Yang penting adalah saya harus belajar yang terbaik. Untuk menjadi seorang doktor yang baik. insyaAllah.


Front cover buku catatan kuliah saya ^_^

Banyak yang sudah dipelajari dari sytem ini. Dua ibu jari tangan berdiri untuk system ini hehe. Mula dari kuliahnya yang sungguh ketepatan waktunya. Kebanyakan doktor yang mengajar adalah anesthesiologist dan surgeons. Memang jelas keperibadian mereka akan masa itu antara hidup dan mati. Materi kuliah marathon selama seminggu sangat menarik dan mengerikan. Mana tidaknya setiap slide ada saja gambar orang putus tangan, terpotong kepala, dan macam-macam lagi yang 18SG. Saya ketika kuliah sampai tertutup juga mata tak tahan ngerinya sehingga tak selera nak makan lunch. Itu baru gambar. Macam mana lah saya nak hadapi real patient di ER nanti huhu…

Yang pasti, segala apa yang dipelajari di kuliah akan disimpulkan dengan semudah ABCDE. Ada maknanya yang panjang disebalik lima huruf itu ya. A=airway, B=breathnig, C=circulation, D=disability, E=environment. Itulah, berhadapan dengan kes emergency ini tak sesenang bak kata pepatah ‘as easy as ABC’ ^_^

Di clinical skill lab sytem ini menyajikan lapan skill semuanya. Yang paling banyak rasanya pernah dapat sebelum ini. Huh. Tapi csl kali ini sangat cool dan best! Antara keterampilan yang dipelajari adalah airway management, breathing aid, transportation and immobilization, vein canulation, radiology, mass disaster management dan suturing. Terasa macho plak bila belajar skill emergency ini tapi pada masa yang lain memang lah terfikir macam mana lah saya nak hadapi situasi darurat yang sebenar nanti. Sudah tahu memang diri ini cepat gelabah hehe ^_^

Keterampilan yang paling saya suka adalah CardioPulmoResuscitation (CPR). Skill ini tak lah seindah yang biasa kita lihat di filem di mana ada jejaka yang memberi pernafasan mulut ke mulut pada si gadis dengan bahagianya. Tak segampang yang disangka. Sangat memenatkan dengan daya untuk menekan dada di dua jari atas processus xiphodeus sebanyak lima siklus. Satu siklus sahaja sudah tercungap-cungap. Namun, itulah. Harus lakukan yang terbaik untuk menyelamatkan pesakit yang memerlukan.

CPR sedang dilakukan ke atas En. Mannequin

Ujian final teori sudah selesai semalam. Hanya tinggal pengumuman remedial besok hari. Tawakkal. Setelah yang terbaik yang semampunya dilakukan. Soalan kali ini agak mencabar dan berbelit-belit sehingga saya pun tak mampu nak fikir. Kesannya, ikut kata hati saja. Hehe.


Apapun, minggu depan sudah mulai system baru dan terakhir untuk pre-clinical year. Bersemangatlah~~

1. Pasti merindukan system ini huhu.
2. Ucapan terima kasih buat doktor pembimbing system ini yang cool dan sporting!
3. Suka system ini sebab tiada lab yang kena lihat microscope sampai terbeliak mata hehe.
4. Weekend ini masa untuk berehat dan berekreasi ^_^
5. Welcoming Tropical Medicine next week!

Tuesday, May 12, 2009

Rindu Buat Ummi

SELAMAT HARI IBU untuk Ummi tersayang. Ucapan terima kasih yang tak terhingga atas segala pengorbanan, kasih sayang ummi selama ini. Sayang, rindu ummi selalu. [sent: 10/5/09 8:50am]

Slm sempena hr ibu ummi doakn ank2 ummi cemerlang dan ummi tramat syg ank2 ummi amin. [received 9:01am 10/5/09]

Hanya ucapan dan doa dari jauh untuk ummi hari ini. Tiada dakapan, pelukan mahupun sambutan istimewa untuk ummi. Terlalu jauh. Namun, dari jauh saya dedikasikan lagu Belaian Ibu buat ummi. Sejak mula berjauhan dengan ummi di kmb saya suka akan lagu ini. membawa rindu yang jauh pada ummi.

Di saat berjauhan, benar-benar terasa ingin berlari mendakap, memeluk ummi. Sewaktu bersama setiap saat seperti tidak mahu berpisah. Ke mana sahaja ummi pergi, pasti mahu ikut. Pasar, pejabat pos, kelas tambahan, bank, berkebun, kenduri, ke mana sahaja pokoknya ^_^

Sungguh rindu untuk bersama ummi.


Selamat Hari Ibu untuk Ummi sayang. Moga tiap hari adalah istimewa buat ummi bersama abah dan anak-anak ummi.


Belaian Ibu

Tertanam naluri keibuan amat mendalam
Di jiwa insan yang mendambakan kebahagiaan
Oh.. ibu

Di bahumu tergalas beban
Perjalananmu penuh rintangan
Kau titipkan kasih sayang
Sejujur pengorbanan
Tak ku nafikan

Di saat kita berjauhan
Rasa ingin ku berlari
Mendakapimu penuh girang
Bak si kecil kehilangan

Kau insan penyayang
Betapa ku merindu
Lembutnya belaian ibu
Membuatku terlena
Di wajah terlukis tenang
Debar di dada kau rahsiakan
Ku pastikan dikau aman
Dikurnia sejahtera
Tak ku lupakan
Tiada aku tanpa ibu
Hanya (kau) satu didunia
Bertakhta dikau dijiwaku
Kau lah ibu yang tercinta
Kau insan pengasih
Betapa aku mengharap
Hadirnya restumu ibu
Membawaku ke syurga

Bersemi belaian kasih sayang nan berpanjangan
Darimu insan yang mendoakan kebahagiaan anak-anakmu
Oh.. Ibu

Hakcipta : Hijjaz Records , Album : Damai, Munsyid : Hijjaz

  1. Terima kasih Sis Dina sebagai sponsor utama sambutan buat ummi di rumah dengan blueberry cheese cake buat ummi. Kira tak usah kumpul duit adik-adik ya tahun ini sebab kakak dah kerja hehe ^_^
  2. Tahun ini ummi dapat extra wish dari seseorang hehe. Siapakah??Apa komen bro Afat???hehe ^_^

Wednesday, May 06, 2009

Emergency and Traumatology I

Sangat kepenatan memerah otak untuk ujian clinical skill lab (CSL) kali ini. Dua hari sudah bertungkus lumus mempraktekkan kebolehan berhadapan dengan emergency dan trauma pasien. Sejak kelmarin dari jam 7.30 pagi sehingga hampir 6 sore baru selesai. Sampai sahaja di rumah azan maghrib sudah berkumandang. Pulang saja habis lenguh satu badan dengan pengumpulan asam urat di seluruh badan. Kesannya, saya tidur terlalu awal.

Alhamdulillah. Semuannya berjalan lancar. Banyak yang sudah dipelajari sepanjang ujian ini. Masa ujian ini juga saya telah ternoda mencium mulut ke mulut dengan Encik Mannequin yang mengalami permasalahan pernafasan. Hehe. Nak buat macam mana. Terpaksa. Percuma saja dia dapat ciuman dari saya hehe ^_^

Yang agak dikewakan adalah untuk ujian thoracocentesis. Dengan penuh percaya diri saya telah menusuk antara costa dua dan tiga Encik Mannequin yang mengalami tension pneumothorax dengan sudut 45 darjah. Apa lagi, terkejut doktor. Sepatutnya harus tegak 90 darjah! Entah lah. Kenapa lah saya terikut ajaran sesat kawan-kawan saja tadi tanpa membelek kembali pada penuntun csl. Kesannya, saya kecewa. huhu..

Keluar saja dari ruangan ujian thoracocentesis dengan kecewa, tiba-tiba giliran dipanggil pula untuk newborn resuscitation. Gelabah. Maklumat dalam otak belum tersusun lagi. Nak tak nak, terpaksa masuk juga. Saya pun menyambut seorang preterm baby, amniotic fluid clear, not breathing, weak muscle tone. Gelabah lagi. Sudah lupa apa yang harus dibuat, saya terus je bersihkan dan keringkan, suction, evaluate heart rate dan breathing. Memang sudah jelas dan nyata saya salah tidak ikut urutan!

“ Doc, I need to stop now. I just came out from that room, so my mind is not prepared yet. Can I rest for a while and come back later...” dengan muka kecewa dan sedih huhu.

“Oh, that’s why you look so stress and not perform well. Ok, you can come back later.”
Alhamdulillah, nasib baik doktor paediatric itu memahami keserabutan dalam otak ini. Memang sungguh kelam kabut tadi. Jika saya teruskan sahaja resuscitate baby tadi kemungkinan besar bayi tadi akan meninggal percuma saja. Malpraktis pula kan. Lebih baik lah saya mengaku ketidak sediaan saya tadi daripada main 'goreng-goreng' saja selamatkan bayi tadi. Tiada istilah 'goreng-goreng' atau cuba-cuba dalam dunia kedokteran! Tak tahu jangan berlagak tahu!

Lima menit berehat, sambung kembali ujian tadi. Kali ini lebih baik dari tadi. Kasusnya sangat panjang sehingga harus diberikan epinephrine pada bayi itu. Tapi ada juga yang saya cuai dan lupa. Meransang dada bayi pada awalnya. Kemungkinan besar lagi untuk saya remedial. Tak apa lah. Yang penting saya sudah lakukan yang terbaik ^_^

Ada juga kemahiran suturing. Satu lagi kelemahan saya disebabkan memang tak pandai menjahit baju sekalipun. Huhu. Memang kemahiran menjahit tidak diajar ketika belajar sains pertanian PMR dulu. Mahu bagaimana lagi, sudah saya tidak ikut kelas ekonomi rumah tangga. Hehe ^_^

Yang lainnya, Alhamdulillah lancar sahaja insyaAllah. Radiology, transportation and immobilization, head and neck trauma, breathing and airway aid sudah dilalui. Doktor-doktor penguji juga sangat baik dan sporting. Jika salah, mereka akan tunjuk ajar kembali. Thanks, doc!

Tawakkal. Semuannya sudah dilakukan dengan sebaiknya dan semampunya. Esok adalah remedial. Pasrah sahaja. Jika harus remedial, saya perlu belajar dengan lebih baik terutamanya bagaimana menguruskan bayi ^_^

Selasa depan ujian teori emergency and traumatology system. Malam ini juga pulsa internet indosat akan tamat. Jadi, saya telah berjanji pada diri sendiri untuk tidak mengaktifkan internet sehinggalah ujian teori selesai. Mungkin ini satu usaha untuk saya mendisiplinkan diri untuk membuka buku dengan lebih kerap lagi hehe ^_^

Semoga berjaya untuk diri saya sendiri dengan azam dan tekad yang membara. Hehe. Paksa lah diri untuk belajar yang terbaik bagi sistem blok teori di semester terakhir sebelum clinical nanti. Pasti kita akan merindukan saat belajar di pra klinikal nantinya. Jadi, ayuh lah kita berusaha! ^_^
  1. Saya akan offline dari tanggal 6 Mei sehingga 12 Mei usai ujian final teori insyaAllah..
  2. Doakan kami semua ya!
  3. Semoga berjaya juga untuk semua kawan-kawan ^_^
  4. Hidup dengan manual book sahaja sepanjang seminggu hehe.
  5. berUSAHAlah~

Saturday, May 02, 2009

Catatan Seorang Doktor

Ini adalah koleksi buku yang paling disayangi. Penuh makna di sebalik pemberian dari seorang abah. Buku ini sudah usang, kertasnya juga kuning warnanya. Entahlah dari mana abah membelinya atau mungkin sejak dari dulu lagi abah menyimpannya. Sudah banyak buku-buku yang abah dah hadiahkan sebelumnya, tapi yang ini paling saya sayangi. Terima kasih, abah sayang!

Catatan Seorang Doktor adalah sebuah semiautobiografi yang merakamkan secara langsung pengalaman Dr.Fanam Dimah sebagai seorang pelajar, mahasiswa dan doktor terlatih(houseman) dalam menggapai cita-citanya di di dunia kedokteran. Buku ini sangat tipis hanya 129 muka surat dan diterbitkan pada tahun 1996. Cukup lama melebihi satu dekad sudah. Mungkin buku ini sudah tiada lagi di pasaran, paling tidak nya hanya terdapat di perpustakaan. Sungguh menginspirasikan kisah-kisah yang dipaparkan. Tulisannya juga sangat ringkas dan menarik sehinggakan saya sudah berapa kali mengulangi membacanya! Percaya atau tidak? hehe ^_^

Moga pemberian dari abah ini memberi semangat pada saya untuk menulis. Setidak-tidaknya akan saya bukukan pengalaman ini khas untuk abah, insyaAllah. Menulis lah, agar setiap tulisan ini bakal dijadikan kisah pengalaman sepanjang perjalanan hidup ini yang tak kan luput, yang nantinya akan menjadi dorongan dan iktibar untuk diri sendiri pastinya.

“ If I wait for inspiration, I’m not a writer, but a waiter.”



Satu pemberian,
Seribu harapan,
Sejuta kasih sayang...

Friday, May 01, 2009

Obat yang Terlupakan

Hampir seminggu sudah ulkus menetap di bawah lingua saya ini. Pedih. Belum pernah ada pengalaman sebelumnya membuat saya agak menderita. Macam-macam petua kawan-kawan bagi seperti berkumur garam dan yang paling advanced sedikit letak je terus garam pada ulkus itu. Huhu, sungguh mengerikan pedihnya! Tak tahu lah bagaimana mekanisma kerja garam itu menyembuhkan ulkus ini. belum jumpa dalam buku lagi hehe. Tapi dah kerana terpaksa dan tak berpengalaman saya ikut je nasihat kawan-kawan. Sampai terkeluar air mata pedihnya sangat.

Belum juga sembuh. Ulkus semakin membesar saiznya. Serik sudah dengan air garam. Saya teteskan dengan minyak gamat saja berharap mampu mengobatinya. Lidah dah terasa pelik dan loya tekak dengan rasa dan bau minyak gamat yang bau gamatnya hehe. Nak buat bagaimana lagi. Terpaksa.

Sudah tak tahan sangat pedihnya. Akhirnya, ada juga peluang untuk jumpa doktor hari ini dengan adanya masa kosong pagi ini. Mulanya malas saja mahu ke rumah sakit tapi kerana dah tak tertahan pedihnya terpaksa juga.

Doktor gigi dan mulut rasanya tempat yang sesuai. Sekalian sahaja saya ikutkan untuk routine dental check up hari ini. Tak ada lah malu sangat nak mengadu semata-mata ulkus di mulut sahaja hehe ^_^

“ Doc, bawah lidah saya sepertinya bermasalah.”

“ Oh, ini sariawan saja dek.”

Senyum sinis doktor gigi memang sudah diduga. Masakan saya tak tahu itu sariawan aka ulcer! Anak-anak juga pasti tahu hehe.

“ Iya kah doc. Nanti doc prescribe obatnya ya. Sudah seminggu sakit ini.”

Selesai sudah dental check up, saya konsultasi pula persoalan dental.

Jam dah pukul 11.30. Pukul 1 nanti ada skill lab. Takut terlewat saya pamit saja tergesa-gesa pulang. Bahagia sudah pembayaran sudah gratis di bawah asuransi.

Sudah separuh di perjalanan ke kampus, baru tersedar. Saya lupa obatnya!

Huhu, tersengih saja sendiri-sendiri dengan pedih rasanya. Ulkus ini belum lagi terobati~

Ulkus=ulcer=sariawan=canker sores=aphthous ulcer
Etiology: unknown, but stress seems to play role (adakah saya stress??huhu)
Symptoms: pain lasts 4-7 days worsen with hot spicy food (so, xdpt mkn sambal hehe)
Treatment: anesthetic (lidocaine, dyclonine),tetracycline, corticosteroid,
garam (ikut petua)
  1. Alhamdulillah, at least saya telah berpengalaman dengan sakit ini.
  2. Hari ini saya suka sebab dapat ke hospital ^_^
  3. Tahniah untuk Azfar, ummi cakap dia dapat UiTM tapi belum tahu di mana. Tahniah dik!
  4. Hari ini juga Berjaya membeli tiket UPG-Surabaya, JKT-UPG senilai 600 ribu ji! Yeah, Java here we come!
  5. Tetaplah bersyukur akan nikmat ujian sakit ini.