Monday, September 28, 2009

salam aidilfiitri

Saya mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri buat semua teman-teman dan keluarga yang mengunjungi blog 'Seteguh Tekadku'. Maaf zahir dan batin dipinta ^_^


Sunday, September 06, 2009

Sejadah itu


Sejadah. Tikar yang diguna untuk solat. Saya kurang senang dengan sejadah. Lebih-lebih lagi sejadah di masjid. Dari dulu lagi hal yang paling kurang disenangi ketika solat berjemaah di masjid adalah masalah sejadah. Bukan kerna sejadah itu kotor atau busuk. Tapi, sejadah lah yang memisahkan banyak saf antara jemaah solat. Lebih-lebih lagi jemaah wanita.

Kalau di asrama sekolah dahulu, memang diajar untuk sentiasa merapatkan saf. Tiada diskriminasi ‘itu sejadah aku!’. Jadi, sejadah bukanlah menjadi masalah. Kalau ada yang keluar saf atau saf itu longgar sedikit pasti akan terisi kembali. Memang pasti antarabahu saling menyentuh. Ada nikmat solat berjemaah di situ.

Tapi, lain pula di masjid. Entahlah. Kebanyakan masjid yang pernah saya solat berjemaah pasti ada masalah sejadah. Kalau masjid di kampung sendiri pun begitu. Makcik- makcik masing-masing mendominasi sejadah mereka yang selebar muat untuk dua orang sendiri. Takut untuk meninggalkan sejadah mereka. Mungkin takut dicuri. Sejadah import Turkey katakan. Entahlah.

Di sini pun sama. Bahkan lagi parah. Jarak antara jemaah bahkan bisa mencapai selebar satu sejadah. Kejadian terawih semalam agak menyedihkan. Ketika imam mahu mengankat takbir, ada sejadah yang kosong tak terisi oleh seorang anak pada seorang ibu muda di sebelahnya. Maka, seorang ibu tua pun bertanya, “Ndak ada orang kah?” dengan niat untuk mengisi sejadah itu bagi merapatkan saf. Si ibu muda tadi pun terus meletakkan tas (beg) anaknya di sejadah itu. Maka terisilah sejadah dan saf itu dengan seorang jemaah bernama ‘tas’. Solat pun dilanjutkan.

Jujur saya katakan, saya benar-benar terganggu dengan situasi sebegini. Bahkan jika dalam solat juga tidak khusyuk memikirkan kalau bergerak merapatkan saf ke sebelah kanan pasti disebelah kirinya berongga sebab mereka enggan meninggalkan sejadah mereka.

Saya sering berkonflik dalaman. Apakah saya harus menjelaskan kepada mereka akan hal ini? memang harus saya jelaskan. Tapi, mungkin secara perlahan-lahan dan berhikmah dahulu sebab saya jenis yang penakut sedikit untuk menegur secara langsung. Apa yang pasti saya lakukan dari diri saya sendiri. Biasanya saya berikhtiar untuk tidak membawa sejadah sendiri ke masjid dengan niat unuk mengisi sejadah yang kosong. Mungkin ada yang memandang ‘kenapa budak nih menyempit kat sejadah aku nih?’. Sabar saja. Paling tidak jika dibawa sejadah sendiri pun pasti dilipat kecil-kecil supaya muat saya seorang sahaja. Biar mereka tahu sejadah tak boleh besar kalau tak mahu berkongsi hehe ^_^

Apapun, sejadah itu tempat yang suci bersih untuk kita sujud dekat pada Allah namun jangan dicemari sejadah itu dengan sifat kita yang yang tidak sepatutnya~